Selamat Datang dan salam sejahtera ke gelanggang penyokong fanatik Arsenal. Sebagai pengenalan, diriku adalah peminat setia kepada pasukan Arsenal semenjak di bangku sekolah lagi.

Pada masa itu, pasukan Arsenal dibarisi oleh ramai pemain yang hebat dan mempunyai kelebihan tersendiri seperti Dennis Bergkamp, Patrik Viera, Emmanuel Petit, Marc Overmars, Tony Adams, Davor Suker dan Robert Pires. Apa yang menjadi tarikan kepada para peminat pasukan ini ialah gaya permainan yang diilhamkan oleh Arsene Wenger, pengurus kelahiran Perancis yang menarik disertai semangat berpasukan setiap pemain. Pernah suatu ketika, seorang tetamu kelahiran Manchester yang berkunjung ke kawasan ku atas tugasannya mengatakan dia adalah peminat Arsenal. Bukan Manchester United sebagaimana disangkakan.
Menariknya, setiap musim Wenger akan melahirkan generasi baru iaitu daripada seorang pemain biasa menjadi pemain luar biasa. Contohnya Nicholas Anelka, Thiery Henry, Kolo Toure, Cesc Fabregas, Robie Van Persie dan Theo Walcott. Kini, pemain-pemain ini sudah menjadi bintang dan mempunyai nilai yang tinggi di pasaran.

Semenjak tiga musim kebelakangan ini, pasukan Arsenal telah dibarisi ramai muka muda untuk diserapkan sebagai kesebelasan utama dalam setiap perlawanan. Pendedahan ini walau bagaimanapun telah memberikan impak dalam pasukan Arsenal kerana kekurangan pengalaman mereka menyebabkan sehingga kini pasukan Arsenal masih belum dapat menikmati sebarang kejuaraan. Namun begitu, pasukan Arsenal masih menjadi ancaman kepada lawan kerana dengan pemain muda sebegini, pemain menawarkan permainan yang pantas dan mempunyai semangat juang yang tinggi dalam menghadapi musuh. Dengan ini, rata-rata sudah semakin ramai yang mula tertarik untuk menyokong pasukan Arsenal.
Beri sedikit ruang, apa yang pasti Arsene Wenger mempunyai kredibiliti untuk membimbing pasukan menikmati kejuaraan dalam beberapa tempoh terdekat.